Foto: FB Ayman Mat

KUALA LUMPUR – Gunung berapi Semeru di timur Pulau Jawa meletus awal pagi ini dengan meledakkan kepulan debu yang tebal berwarna kelabu setinggi 1.5 kilometer (km) dari puncak gunung tersebut.

Kepulan debu tersebut menghala ke arah tenggara dan selatan dalam letusan yang berlaku pada jam 2.46 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB).

Menurut kenyataan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), dengan peningkatan aktiviti gunung berapi itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menaikkan status daripada ‘Berjaga-jaga’ kepada ‘Awas’, atau daripada tahap III kepada tahap IV pada pukul 12 tengahari WIB.

Katanya, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) juga telah mengeluarkan arahan kepada penduduk supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dan menjauhi kawasan tenggara di sepanjang Besuk Kobokan, sejauh 13 km dari puncak (pusat letusan).

Di luar jarak tersebut, katanya, penduduk juga diminta tidak melakukan aktiviti pada jarak 500 meter dari tepi sungai (sempadan sungai) di sepanjang Besuk Kobokan kerana berpotensi berhadapan dengan awan panas dan aliran lahar hingga jarak 17 km dari puncak. – Agensi