Tiga orang warga Myanmar tidak berdokumen yang mengendalikan bot nelayan tempatan dan terlibat aktiviti perikanan di perairan negara di Kuala Selangor berjaya ditahan Maritim Malaysia semalam. Foto: Maritim Selangor

KUALA SELANGOR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kuala Selangor yang disyaki menggaji kru warga asing.

Pengarah Maritim Malaysia negeri Selangor, Kapten Maritim V.Siva Kumar berkata, bot nelayan itu ditahan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin di perairan tersebut.

“Semasa tangkapan itu dibuat bot nelayan itu sedang melakukan aktiviti tangkapan ikan pada kedudukan 3.1 batu nautika perairan Kuala Selangor.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam bot itu mendapati ia dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 31 hingga 39 tahun,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tiga warga Myanmar termasuk seorang tekong yang tidak berdokumen mengendalikan bot nelayan tempatan berjaya ditahan di perairan Kuala Selangor semalam oleh Maritim Selangor. Foto: Maritim Selangor

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lelaki warga asing itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, bot dan kru itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999. -MalaysiaGazette