Saifuddin Nasution Ismail .

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan yang menghubungkan parti kawan dan lawan iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional serta parti-parti dari Sarawak dan Sabah berasaskan ‘kepercayaan dan hormat’.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha melahirkan Kerajaan Perpaduan bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 diketahui pada 19 November 2022.

“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding,” jelas beliau.

Saifuddin Nasution yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, beliau bertuah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan beliau peluang untuk mendokong pendekatan politik inklusif.

Pendekatan itu berkonsepkan meramaikan kawan dan mengurangkan musuh yang menjadi faktor pendorong tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

Beliau diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti berteraskan kepercayaan dan hormat bermula dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Kemudian, dijayakan melalui hubungan peribadi dengan kepimpinan BN dan parti politik Sabah serta Sarawak.

“Sejurus keputusan PRU15 yang memaparkan tiada parti memperolehi majoriti pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain.

“Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar diletak sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti-parti bukan PH yg telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta,” jelas beliau dalam kenyataan.

Katanya, langkah yang diatur kali ini dalam membentuk kerajaan adalah lebih mudah kerana idea Kerajaan Perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang Dipertuan Agong.

Saifuddin Nasution berkata, tiga pengajaran diperolehi daripada usaha membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sentiasa amalkan pendekatan politik terbuka. Politik itu dinamik justeru pendekatan politik juga harus fleksibel

“Hormat kawan dan lawan. Kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan.

“Sabar. Politik ini suatu marathon lambat mencapai destinasinya,” katanya.

Pada PRU15, Saifuddin Nasution gagal mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,061 undi.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator bersama tiga yang lain semalam bagi membolehkannya dilantik sebagai menteri.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pada PRU15, Saifuddin Nasution gagal mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,061 undi.

    UNTUNG BESAR KALAH TERUK JADI MENTERI JIKA BERMARUAH DAN SEDAR DIRI TOLAK JAWATAN INILAH YANG MENANG DALAM KALAH

Comments are closed.