Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDNKSH) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin (kanan) bersama penguatkuasa melakukan pemeriksaan bekalan telur di Pasaraya NSK Jalan Selayang Baru, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) memaklumkan bekalan minyak masak peket, telur dan ayam di Selangor kini stabil dan konsisten.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, kira-kira 65 peratus daripada bekalan itu masih ada dalam pasaran.

Mengakui ada kekurangan bekalan di pelbagai tempat, namun ianya bersifat sementara dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan menunjukkan prestasi keberadaan bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) di Selangor adalah stabil dan tidak ada isu kekurangan bekalan untuk menampung keperluan pengguna isi rumah.

“Arahan kerajaan menetapkan pembelian terhad tiga peket untuk setiap pembelian adalah rasional demi memastikan setiap pembeli untuk kegunaan isi rumah dapat menikmati bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran,” katanya  selepas membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDNKSH) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

Menurut Mohd Khairi, keberadaan bekalan telur ayam di Selangor juga disifatkan konsisten dalam pasaran dan tidak mengalami kekurangan stok dalam tempoh masa yang lama.

Jika ada sekali pun ianya bersifat sementara serta berlaku secara lokaliti dan kebiasaannya bekalan pulih semula dalam tempoh masa yang munasabah.

“Tidak dinafikan terdapat situasi belian telur terhad kepada pilihan gred, jenis dan bilangan telur ayam (10 biji/ 30 biji).

“Walaupun berlaku limitasi pembelian, prestasi keberadaan bekalan telur ayam tidak kritikal dan masih berupaya menampung keperluan pembeli,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, bekalan ayam standard juga semakin baik berdasarkan pemeriksaan melibatkan peringkat pengeluar dan pembekal telur ayam di premis pengumpulan sekitar Kuala Garing, Rawang, Selangor.

“KPDNKSH Selangor meminta kerjasama pengguna membeli mengikut keperluan dan tidak sesekali membuat pembelian panik dengan menyimpan stok yang berlebihan daripada keperluan biasa,” katanya.

Tambahnya, KPDNKSH Selangor menerusi penguatkuasaan  di bawah Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari sehingga 3 Disember lalu telah memeriksa 6,635 premis membabitkan 190 pemborong dan 6,445 peruncit.

“Seramai 183 peniaga telah dikenakan tindakan kes yang meliputi pelbagai kesalahan di mana 28 kes menjual melebihi harga maksimum, 144 kes gagal meletakkan tanda harga khas warna merah jambu dan 11 kes gagal mempamerkan tanda harga,” katanya.

Kesemua kes berkenaan melibatkan kompaun berjumlah RM42,400. – MalaysiaGazette