KUALA LUMPUR – Salah seorang kakitangan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) disyaki melakukan pecah amanah di dalam pengendalian akaun bank kesatuan itu.

KRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan laporan polis telah dibuat dan kakitangan tersebut kini tidak dapat dihubungi dan dikesan.

“Kakitangan tersebut telah memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai salah seorang penandatangan cek.

“Beliau juga kemudiannya telah memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran-pengeluaran wang tunai dari bank,” kata KRM.

Menurut kenyataan itu, KRM masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dan akan membantu siasatan polis serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, KRM akan meneruskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang untuk hujung tahun ini.

KRM akan menjadi tuan rumah kepada empat pasukan bagi kejohanan Asia Rugby Men Under 19 Championship 2022 yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 Disember 2022 di Padang Astaka, Petaling Jaya.

“Kejohanan ini merupakan pusingan kelayakan bagi World Rugby Junior Trophy 2023 akan melibatkan pasukan dari Hong Kong, Korea, Chinese Taipei dan Malaysia.

“Di samping itu, Kesatuan Ragbi Malaysia akan menghantar dua pasukan (lelaki dan wanita) bawah 18 tahun ke Nepal untuk menyertai kejohanan Asia Rugby 7s Boys & Girls U-18 2022 pada 10 hingga 11 Disember 2022 dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP),” ujar KRM.

Dalam pada itu, KRM merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Putrajaya yang telah berjaya menjuarai Piala Agong 2022 setelah menewaskan pasukan Terengganu pada Sabtu, 3 Disember lalu. – MalaysiaGazette