Orang ramai melakukan urusan di mesin transaksi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 510,354 bagi tempoh Januari hingga September 2022, menjadikan jumlah ahli KWSP pada 30 September 2022 sebanyak 15.61 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.26 juta adalah ahli aktif 1 , yang kini mewakili 50% daripada 16.44 juta tenaga buruh Malaysia setakat September 2022.

”Pemulihan Malaysia yang stabil dalam keadaan pasaran buruh dan sokongan dasar yang berterusan membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, iaitu pada 53%:47% pada September 2022, daripada jumlah ahli aktif pada suku ketiga 2022 sebanyak 8.26 juta berbanding jumlah ahli sebanyak 15.61 juta,” katanya.

Bagi mencapai sasaran perlindungan melebihi 60% tenaga buruh yang aktif menjelang 2025, KWSP telah mempergiatkan program outreach dan libat urus dengan pihak berkepentingan secara proaktif, disokong oleh teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses lebih banyak perkhidmatan KWSP seperti pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan, dan Simpanan Syariah.

Beliau berkata, keupayaan digital itu membantu mengukuhkan asas operasi KWSP, seterusnya membolehkan ia untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan nilai tambah kepada ahli KWSP, di samping membantu meningkatkan kadar pendaftaran kedua-dua program caruman sukarela KWSP.

Dari Januari hingga September 2022, pendaftaran baharu i-Saraan meningkat kepada 445,193 daripada 27,048 dalam tempoh yang sama tahun lepas,manakala pendaftaran baharu KWSP Kasih Suri Keluarga Malaysia meningkat daripada 2,216 kepada 43,666 untuk tempoh yang sama.

i-Saraan ialah program caruman sukarela untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau tidak mempunyai pendapatan formal untuk menyimpan
untuk persaraan mereka dengan KWSP, manakala Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP adalah insentif yang disediakan khas untuk suri rumah yang berdaftar di bawah Program e-Kasih untuk menyimpan dengan KWSP untuk kesejahteraan masa depan mereka.

Bukti pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik juga boleh dilihat daripada pertumbuhan data majikan KWSP yang mana pendaftaran majikan baharu direkodkan sebanyak 74,781 dari Januari hingga September 2022, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 582,990.

Gangguan ekonomi seperti pandemik dan krisis ekonomi telah menyerlahkan kelemahan kewangan merentasi pelbagai segmen penduduk. Impak kewangan ini menjadi lebih ketara di kalangan kumpulan yang tidak dilindungi, iaitu mereka yang tidak menerima sebarang perlindungan skim keselamatan sosial.

Oleh itu, KWSP telah giat melaksanakan perlindungan KWSP untuk menggalakkan jaminan pendapatan hari tua di luar sektor formal, meliputi pekerja sektor tidak formal dan yang berada di luar tenaga buruh. KWSP menggerakkan usaha melalui kerjasama bersepadu dan strategik dengan pelbagai institusi dan organisasi seperti penyedia platform gig serta badan penyeliaan dan kawal selia.

Ini adalah salah satu teras KWSP untuk menyediakan pelan simpanan yang selamat dan dipercayai untuk semua golongan yang bekerja di Malaysia bagi membantu mereka membina pendapatan persaraan ke arah kehidupan yang bermaruah dalam tempoh persaraan mereka. – MalaysiaGazette