Mohd. Sabirin (tengah) bersama penerima dan penyumbang zakat. di Subang Jaya hari ini.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP).

Peruntukan tersebut bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 serta M40 termasuk institusi di Selangor yang terkesan dengan cabaran pasca pandemik Covid-19 dan bencana banjir tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, inisiatif ZSP telah dilaksanakan secara berperingkat bermula Oktober hingga Disember ini.

“Melaui ZSP, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM33.5 juta Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) kepada 67,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Bantuan one-off RM500 adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar golongan tersebut dapat memanfaatkan bagi keperluan susulan peningkatan kos sara hidup.

“Manakala sebanyak RM2 juta turut diperuntukkan bagi memastikan tidak ada asnaf yang kelaparan dengan menyalurkan Bantuan Makanan Bulanan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Sabirin, bagi meringankan beban perbelanjaan pendidikan golongan B40 dan M40 yang bukan dalam kalangan asnaf, peruntukan ZSP sebanyak RM20 juta disalurkan menerusi Sumbangan Pendidikan Anak Selangor (SPZAS) untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sumbangan zakat ini dapat memberi manfaat kepada 20,000 penerima dalam memastikan kelancaran pengajian dan pembelajaran anak-anak dan mahasiswa B40 serta M40.

“Di samping itu, melalui ZSP sebanyak RM9.95 juta juta disalurkan bagi memenuhi keperluan pengajian pelajar Huffaz di Negeri Selangor yang bakal memanfaatkan sehingga 5,300 pelajar.

“LZS turut menyantuni institusi pendidikan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggantikan perabot sekolah yang uzur.

“Manakala sumbangan RM1 juta diperuntukkan untuk menyokong tabungan pembinaan bangunan Sekolah Agama Rendah (SAR) KAFA Integrasi Puncak Alam.

“Sejumlah RM430,000 lagi disalurkan bagi tujuan pelupusan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir pada tahun 2021,” jelas beliau.

Tambah Mohd. Sabirin, sumbangan sebanyak RM180, 000 disalurkan kepada JAIS bagi pembelian set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sumbangan tersebut bagi menyokong keperluan pengurusan jenazah Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

“Sejumlah peruntukan ZSP turut disalurkan bagi menaik taraf kemudahan yang uzur dan daif melibatkan RM500, 000 bagi sumbangan menaik taraf Balai Islam Pulau Ketam yang menjadi pusat bagi aktiviti dakwah kepada komuniti Islam dan bukan Islam setempat dan kawasan sekitarnya.

“Manakala, RM180, 000 lagi disalurkan bagi menaik taraf Balai Pelawat di Hospital Ampang,” tambahnya.

Inisiatif ZSP telah diperkenalkan pada tahun 2021 bagi menyalurkan bantuan secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan penularan pandemik Covid-19 melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta. -MalaysiaGazette