Pihak APMM dan APM mengangkat mayat wanita warga Rusia yang ditemui tersangkut di sangkar ikan di Pulau Jerejak di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Operasi mencari wanita warga Rusia yang dilaporkan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang hari ini, ditamatkan selepas mayat mangsa ditemui di kawasan sangkar ikan Pulau Jerejak, di sini.

Mayat wanita berusia 34 tahun itu ditemui tersangkut pada sangkar ikan oleh pemiliknya pada jam 1.42 tengah hari.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sebaik menerima laporan tersebut, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas mayat mendapati, mangsa adalah seorang wanita Rusia yang disyaki terjun laut dari Jambatan Pulau Pinang pada jam 2.35 awal pagi tadi.

Beg mangsa yang ditinggalkan di atas jambatan.

“Kejadian itu disedari selepas orang awam menemui di beg tangan serta dokumen pengenalan diri mangsa di atas jambatan tersebut.

”Terdahulu, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada jam 6.55 pagi berhubung kejadian ini dengan melibatkan aset agensi dari Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam untuk melaksanakan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast