Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah pendapatan kasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susut sebanyak 18% atau RM8.71 bilion kepada RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022 berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2021.

KWSP berkata, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 juga menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12% kepada RM12.32 bilion berbanding RM13.97 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Walau bagaimanapun, ini juga mewakili peningkatan 11% berbanding suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil.

”Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik yang berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Namun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan alokasi aset strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik.

Dalam suku tahun yang dikaji, ekuiti menyumbang RM5.49 bilion, merangkumi 45% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Di sebalik peningkatan ketidaktentuan pasaran, KWSP berjaya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku yang sihat sebanyak 13% untuk pendapatan pelaburan kasar daripada portfolio ekuitinya.

Ekuiti Ppersendirian, yang merupakan sebahagian daripada kelas aset ini, telah berjaya memberikan pendapatan direalisasi yang memberangsangkan sebanyak RM1.09 bilion atau 20% daripada jumlah pendapatan ekuiti yang dicatatkan pada suku tahun tersebut.

Portfolio ini menjadi semakin penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi.

Instrumen pendapatan tetap, kekal sebagai tunjang kepada KWSP dalam memelihara modal dan memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 39% daripada jumlah pendapatan, atau RM4.77 bilion, kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku ketiga 2022.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.67 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.39 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Pada suku ketiga 2022, pelaburan luar negara KWSP yang membentuk 36% daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana pendapatan RM5.28 bilion, mewakili 43% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sebanyak RM1.42 bilion daripada RM12.32 bilion dalam pendapatan pelaburan kasar, dijana untuk Simpanan syariah pada S3 2022, dan RM10.90 bilion untuk simpanan konvensional.

Simpanan syariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio itu.

Dengan mengambil kira kesan RM36 juta yang telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada suku ketiga 2022 ialah RM12.28 bilion, naik 37% daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2022.

Penurunan kos ialah polisi dalaman yang diterima pakai oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarai sebagai langkah berhemat untuk memastikan kesihatan portfolionya.

Sehingga September 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM961.01 bilion.

KWSP berkata, di sebalik cabaran makroekonomi, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sehingga September 2022 adalah RM63.61 bilion, lebih baik dari yang dijangkakan. – MalaysiaGazette