Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan mana-mana pihak agar tidak memainkan isu perkauman secara keterlaluan dengan membuat dakwaan Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, bukan mudah untuk kerajaan melaksanakannya kerana perlu meminda Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) terlebih dahulu.

“Ada pertuduhan kononnya kerajaan baharu ini akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan agar bandar-bandar dikuasai oleh kaum tertentu sahaja.

“Untuk pengetahuan semua, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan ini hendak dilaksanakan, Parlimen hendaklah terlebih dahulu meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Ini kerana dalam akta ini, pemilihan Ahli Majlis akan dilakukan oleh kerajaan negeri, bukan melalui sebarang bentuk pilihanraya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau menjelaskan, pindaan itu memerlukan sekurang-kurangnya majoriti mudah, sedangkan DAP atau Pakatan Harapan (PH) tidak mampu meminda akta tersebut sendirian memandangkan mereka mempunyai 82 kerusi parlimen sahaja.

Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari awal lagi berpendirian tidak akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Tanpa sokongan daripada UMNO dan BN ini, pindaan itu tidak akan dapat dilaksanakan.

“Jesteru, tidak perlu memainkan isu perkauman keterlaluan. UMNO akan sentiasa kekal berpendirian mempertahankan perlembagaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Bumiputera dan kedudukan Islam.

“Ini adalah perkara yang tidak pernah kami kompromi apabila bekerjasama membentuk kerajaan dengan PH,” katanya.

Menurut Dr. Asyraf, satu perkara yang cuba ditutup oleh sesetengah pihak adalah kemampuan UMNO untuk kekal mempertahankan kedudukan Melayu Islam ketika bekerjasama dengan DAP.

Ini tegasnya, jelas berbeza dengan pengalaman Pas dan Parti Bersatu ketika berada dalam kerjasama dengan parti berkenaan.

Beliau memberi contoh, ketika Pas bersama dengan DAP memerintah Perak tahun 2008, parti pimpinan Lim Kit Siang itu mendapat tujuh jawatan Exco dan jawatan Speaker.

Sedangkan, katanya, ketika bekerjasama dengan UMNO tahun ini, DAP bersetuju memegang empat jawatan Exco sahaja. Walhal jumlah ADUN DAP Perak pada tahun 2008 dan tahun ini adalah sama sahaja iaitu 18 orang.

“Begitu juga ketika Parti Bersatu bergabung dengan DAP membentuk kerajaan PH pada 2018. DAP memperoleh enam jawatan menteri penuh termasuk Menteri Kewangan.

“Tetapi, apabila UMNO bekerjasama dengan DAP tahun ini selepas dititah Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, DAP telah berkompromi untuk memegang empat menteri penuh.

“Sedangkan, UMNO mendapat enam menteri penuh termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kemampuan UMNO untuk memastikan kerajaan hari ini kekal berteraskan Melayu Islam sepertimana citra bangsa Malaysia.

“Serta kompromi generasi pimpinan baru DAP yang lebih memahami fabrik sosial negara berbanding generasi sebelumnya.

“Apapun berikan peluang kepada kerajaan hari ini memerintah. Tidak perlu terganggu dan kecewa gagal menjadi kerajaan.

“Jadilah pembangkang bermaruah sepertimana yang diikrarkan. Bukannya mencari populariti dengan menjual naratif ketakutan,” katanya. – MalaysiaGazette