Wang Gungwu

KUALA LUMPUR – Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada tokoh sejarah, Profesor Datuk Wang Gungwu di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-62 pada hari ini.

Wang merupakan perintis kepada Kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Beliau merupakan kumpulan pertama pensyarah yang dilantik di Kampus Lembah Pantai ketika Universiti Malaya di Kuala Lumpur dibuka.

“Penganugerahan ini merupakan penghormatan yang sangat besar buat saya dan ianya merupakan kenangan nostalgia untuk berada di kampus semula. Saya mempunyai terlalu banyak kenangan indah di kampus, dan pada hari ini di Dewan Tunku Canselor mengingatkan kembali kenangan-kenangan lalu,” kata Wang.

Wang telah dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada tahun 1930, dibesarkan di Ipoh, Perak dan menerima pendidikan awal di Sekolah Anderson, Ipoh.

Pada tahun 1949, beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan pelajar yang meneruskan pelajaran di Universiti Malaya

Beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dan kemudiannya menyambung pelajaran di School of Oriental and African Studies, London University pada tahun 1957, kembali untuk mengajar seketika di Universiti Malaya di Singapura sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kampus Kuala Lumpur pada tahun 1959.

Wang telah dilantik sebagai Profesor pada tahun 1963 pada usia hanya 33 tahun dan pada tahun 1963 juga, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera yang keempat.

Di bawah kepimpinan Wang, Jabatan Sejarah Universiti Malaya telah berkembang menjadi Jabatan Sejarah yang paling terkenal di Asia.

Wang telah menunjukkan kepimpinan akademik yang luar biasa dengan menerbitkan beberapa karya utama iaitu Nanhal Trade (1958) dan penulisan beliau bertajuk A Short History of the Nanyang Chinese (1959) masih menjadi rujukan asas kepada kajian mengenai China dan masyarakat Cina di rantau Dunia Melayu.

Universiti Malaya meraikan 7,863 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-62 dalam 15 sidang bermula hari ini Disember hingga 12 Disember 2022. – MalaysiaGazette