Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mahu meningkatkan ekonomi negeri-negeri yang ketinggalan dari sudut pembangunan.

Menurutnya, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) beliau juga akan memberi tumpuan untuk membantu golongan miskin tegar.

Berdasarkan taklimat awal yang diberikan kepadanya, beliau merumuskan situasi ekonomi sekarang tidak jauh berbeza dengan sewaktu belum menjadi sebahagian kerajaan.

Timbalan Presiden PKR itu akan berusaha dengan langkah proaktif untuk mengeluarkan negara dari terus terperangkap dalam pendapatan sederhana.

“Terdapat banyak fokus untuk negeri-negeri yang buat masa sekarang ini, tidak mengalami pertumbuhan yang baik. Yang lebih ramai orang miskin.

“Fokus penting harus diberikan kepada kumpulan paling rentan dalam masyarakat dari segi ekonomi, tentang program pembasmian tegar dan sebagainya,” katanya pada sidang media pertama sebagai menteri hari ini.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat dari Unit Pengurusan Ekonomi (EPU) di pejabat rasmi di Menara Prisma.

Rafizi menjelaskan, selepas mendapat taklimat yang lebih terperinci beliau mungkin akan membuat sedikit perubahan terhadap polisi serta projek-projek kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun menurutnya, perubahan yang akan dilakukan tidak begitu ketara.

Katanya, kementeriannya juga akan membantu menyediakan Bajet 2023.

Penyediaan belanjawan itu memerlukan masa antara sebulan atau dua bulan.

“Kami baru membuat penelitian (tentang Perbelanjaan Pembangunan) di peringkat makro, jadi terlalu awal untuk bercakap secara terperinci.

“Kerajaan akan membentangkan bajet emolumen dalam persidangan (Parlimen) seterusnya dan Bajet penuh untuk 2023 dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan juga akan berikan kepada matlamat pembangunan mampan (SDG) serta ekonomi pengetahuan dan teknologi.

Bagaimanapun, perkara paling penting yang perlu dilakukan ialah memastikan wujud kepaduan yang kukuh daripada kepimpinan utama kerajaan sehingga ke peringkat bawah.

Ini bagi memastikan perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.-MalaysiaGazette