Anthony Loke Siew Fook membuat tinjauan perkhidmatan LRT Laluan kelana Jaya pada waktu puncak.
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada minggu ini bagi membincangkan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam setelah beliau meninjau perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pada waktu puncak hari ini.
Katanya, pada tinjauan antara pukul 5 petang hingga 7 malam itu beliau mendapati keadaan cukup sesak menyebabkan penumpang tidak selesa.
“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut Anthony, berikutan itu beliau memahami kesulitan yang dihadapi penumpang LRT tersebut.
Tambah beliau, mesyuarat yang akan diadakan itu juga akan membincangkan hala tuju perkhidmatan awam di negara ini. – MalaysiaGazette.