Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjalan keluar selepas memberi keterangan berhubung siasatan kes ucapan berbaur hasutan oleh beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu pihak berkuasa menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama Islam secara adil dan saksama.

Presiden Pas itu berkata, kini beliau menjadi sasaran kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) apabila ditekan dan disisat dengan menggunakan polis.

“Saya dipanggil untuk dirakam keterangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berkaitan beberapa laporan polis yang dibuat serta memberi penjelasan kepada beberapa soalan yang diajukan.

“Saya sudah bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah atau sebagainya, kini giliran saya pula disiasat.

“Kerajaan baharu ini sangat proaktif (siasat) ke atas saya, tapi saya beritahu polis, giliran pihak lain dalam Pakatan Harapan yang sentuh Islam agar disiasat juga. Siasat secara adil dan saksama, kita tunggu dan lihat nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Pada 10 November lalu, PH membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata, Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta anti tuhan pada majlis yang diadakan di Temerloh, Pahang.

Abdul Hadi yang tiba di IPD Sentul pada jam 2.55 petang untuk memberi keterangan ditemani peguam, Wan Rohaimi Mohd Daud.

Menurut Abdul Hadi, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan memberikan penjelasan kepada soalan yang diajukan sepanjang proses merakam keterangan itu.

“Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berikutan beberapa laporan polis dibuat ke atas saya, tiada rampasan telefon dan saya tunggu tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Rohaimi berkata, beliau tidak pasti bilangan laporan yang dibuat ke atas Presiden pas itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan.

“Laporan polis dibuat di IPD Sentul, Dang Wangi dan Alor Setar Kedah dan Haji Abdul Hadi Awang baru sahaja selesai memberikan keterangan hasil laporan polis itu,” katanya. – MalaysiaGazette