Keadaan kawasan kejadian tanah runtuh di h Risaralda.

BOGOTA – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh selepas tanah runtuh melanda jalan raya di wilayah Risaralda di barat Colombia.

Sebuah bas yang penuh dengan penumpang adalah antara beberapa kenderaan yang tertimbus di bawah lumpur dan batu, yang tumbang menuruni lereng bukit berikutan hujan lebat.

Salah seorang penumpang sempat membantu isteri dan dua anaknya keluar dari bas sebelum dia tertinbus dan meninggal dunia.

Tiga kanak-kanak adalah antara yang terbunuh, kata Presiden Gustavo Petro.

Tanah runtuh itu berlaku pada awal pagi Ahad waktu tempatan di jalan menuju ke wilayah utara Choco.

Saksi berkata, sebuah bas antara bandar, pacuan empat roda dan motosikal telah berhenti di jalan raya tersebut kerana kemalangan kereta di hadapan apabila sebahagian lereng bukit tiba-tiba runtuh menimpa mereka.

Bas itu dipercayai membawa dua pemandu dan 25 penumpang ketika berlepas, tetapi lebih ramai penumpang mungkin menaiki sepanjang perjalanan.

Salah seorang yang maut di dalam bas itu dikenali sebagai Guillermo Ibarguen.

Anak lelakinya Andres memberitahu Caracol News bahawa “ayah membantu saya keluar dari bas melalui lubang kecil”.

“Saya terpaksa menjatuhkan diri ke dalam gaung. Apabila saya terjun, lumpur telah menutupi segala-galanya,” katanya.

Ibarguen juga membantu isterinya dan anak perempuannya melarikan diri dari bas tepat pada masanya.

Sekurang-kurangnya sembilan orang terselamat dalam kejadian tanah runtuh itu, termasuk seorang gadis yang dilihat penyelamat berpaut pada mayat ibunya yang telah meninggal dunia.

Tanah runtuh kerapberlaku di Colombia, terutamanya pada musim hujan, dan jalan gunung sering terputus hubungan akibat lumpur dan batu. – Agensi