Saifuddin pengundi muda
Khairil Nizam Khirudin.-Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan jumlah cabutan judi.

Bagaimanapun Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, tidak sewajarnya pengumuman tersebut ditambah dengan fitnah.

“Adakah penyokong PH (Pakatan Harapan) sudah habis modal untuk burukkan Pas sehingga sanggup kitar semula fitnah kata Pas sokong peningkatan cabutan judi?

“Dalam Pas, kami diajar berpolitik secara matang dan sejahtera,” tegasnya.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, beliau sendiri telah membantah penambahan bilangan cabutan judi pada Januari 2021 melalui artikel yang diterbitkan di lidah rasmi parti itu.

Dalam artikel itu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menambah kekerapan cabutan khas judi dari lapan kali setahun pada tahun 2020 kepada 22 kali setahun bermula 2021.

“Sekali pun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara bagi usaha mengekang wabak Covid-19 seperti kali pertama ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 semasa wabak Virus Nipah bertujuan untuk menghapuskan punca wabak, Pemuda Pas berpendapat, ianya bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Judi adalah haram di sisi Islam selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat. Masih ada jalan lain yang boleh digunakan tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya dalam artikel itu.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata, juga tidak wajar untuk Perdana Menteri memberi bayangan kononnya PN menggunakan dana daripada syarikat judi.

Sebaliknya beliau meminta supaya Anwar mengemukakan bukti terhadap dakwaan tersebut.

“Sekarang Perdana Menteri tambah pula sentimen minta orang membayangkan PN menggunakan dana judi untuk bantu kempen PRU.

“Buat apa bayang-bayang. Kalau ada bukti, kemukakan. Kasihan, sudah jadi kerajaan pun masih ada mentaliti pembangkang.

“Semoga Allah beri hidayah kepada pemfitnah untuk kembali ke jalan yang benar,” kata Khairil Nizam.

Serentak itu beliau mencadangkan agar negeri-negeri lain mencontohi negeri yang ditadbir Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah mengharamkan terus kedai judi.

Katanya, cukai judi menunjukkan penurunan mendadak sepanjang PN memerintah.

Ini kerana banyak pusat judi berjaya ditutup di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas.

Semalam Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Beliau turut mengumumkan penurunan jumlah cabutan undi dari 22 kali kepada lapan kali setahun.-MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. ANWAR SINONIM DENGAN NOMBOR2….SAYA ADA CUKUP NOMBOR EKOR ….UNTUK DIANGKAT JADI PM…..SEBAB SELALU SEBUT ANWAR PUN SYOK DENGAN DANA2 JUDI

Comments are closed.