Pacuan empat roda yang dinaiki empat individu itu remuk teruk dirempuh sebuah Perodua Myvi di Weld Quay, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Dua individu parah manakala dua lagi cedera selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Perodua Myvi dalam kejadian di Weld Quay berhampiran Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, tengah malam tadi.

Kejadian jam 12.50 tengah malam itu dipercayai berlaku selepas kereta Myvi yang dipandu wanita berusia 50-an  hilang kawalan sebelum merempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton hingga menyebabkan ia terbalik dalam keadaan melintang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd Fadzil Lokman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.54 tengah malam dan sampai di lokasi enam minit kemudian.

Mohd Fadzil.

“Sebaik tiba kita dapati dua penumpang tersepit dalam pacuan empat roda itu dan usaha mengeluarkan mereka dilakukan dalam tempoh tiga minit.

“Siasatan lanjut mendapati empat mangsa menaiki kenderaan tersebut yang mana dua parah akibat kecederaan tersepit manakala dua lagi yang cedera ringan berjaya selamatkan diri.

Dua mangsa mengalami cedera ringan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

“Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mengulas lanjut Mohd Fadzil berkata, pemandu kereta Myvi turut mengalami kecederaan susulan langgar pagar penghadang jalan ketika cuba melarikan diri selepas merempuh pacuan empat roda tersebut.

Myvi yang dipandu wanita berusia 50an itu turut remuk dalam kemalangan tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast