Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengimbas kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak berhasrat untuk memperkenalkan program baharu di kementerian yang baru diterajuinya.

Ingin keluar daripada kelaziman, beliau sebaliknya mahu memperkasakan program-program sedia ada yang telah diperkenalkan KBS sebelum ini.

“Selalunya orang rasa kalau ada kepimpinan baru akan ada program baru tapi saya tidak ada hasrat perkenalkan program-program baru, saya nak dengar dan nak cari jalan perkasakan program sedia ada,” katanya ketika sidang media pertamanya di KBS hari ini.

Dalam masa yang sama, Hannah berkata, antara aspek yang menjadi tumpuan adalah memastikan sukan dalam negara bukan hanya boleh diakses oleh semua kategori dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para atlet.

“Perlu ada keadaan yang selamat untuk atlet, kebajikan dan keselamatan.

“Selain itu saya mahu fokus kepada aspek belia. Aspek ini merangkumi 17 kementerian lain jadi saya perlu pertemuan kementerian lain untuk pastikan ada kesinambungan dan pastikan KBS  tidak bergerak sendiri dan bekerjasama dengan yang lain.

“Saya tak mahu ada belia rasa kalau tidak pandai, golongan itu tidak ada ruang berkembang,” katanya lagi.

Sementara itu, Hannah juga akan mengadakan dengan atlet tanah air bagi mendengar cadangan dan hasrat kumpulan tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, pertemuan berkenaan akan diadakan selepas beliau selesai menerima taklimat daripada  pihak pengurusan tertinggi KBS bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang agenda kementerian tersebut. -MalaysiaGazette