Mohd Johari Hussain

KUALA LUMPUR – Tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang bermula pada 24 Nov lepas, akan tamat pada 11.59 malam ini.

Selepas tempoh berkenaan, setiap calon daripada parti bertanding dilarang berkempen untuk merayu undi bagi kedua-dua kawasan berkenaan terutama menjelangnya hari pengundian pada keesokannya.

Menurut laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.

Akta tersebut juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik dan melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya semasa hari pengundian.

Sekiranya, ada pihak yang melanggar sebarang peruntukan di bawah subseksyen itu. boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau dedenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

PRU15 di kedua-dua kawasan tersebut ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov lepas.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai akan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional-BN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Warisan, dan calon bebas Sreanandha Rao.

Bagaimanapun pada 2 Dis lepas, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen berkenaan.

Sebelum ini, Warisan turut memutuskan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo parti itu masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

Sementara itu, DUN Tioman akan menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas).

Calon lain, Mohd Fadzli Mohd Ramly dari PH, mengumumkan memberi laluan kepada calon BN untuk meningkatkan peluang untuk menang, tetapi namanya (Mohd Fadzli) masih tertera di kertas undi.

Menurut SPR, status calon tidak boleh diubah selepas pencalonan mereka diterima.

Daftar Pemilih bagi kerusi Parlimen Padang Serai melibatkan seramai 133,867 pemilih berdaftar, manakala bagi DUN Tioman, terdapat 28,465 pemilih berdaftar. – BERNAMA