Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembatalan projek kereta api laju (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yaasin pada akhir tahun 2020 adalah antara skandal yang perlu disiasat oleh kerajaan baharu.

Ia kerana, tindakan pembatalan projek itu menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan sebanyak RM320 juta secara buta-buta kepada Singapura.

Alasan kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin ketika itu kerana tidak mahu terikat dengan perjanjian dengan Singapura, yang mana semua perolehan bagi projek tersebut perlu melalui tender antarabangsa terbuka.

Namun, selepas pembatalan itu, Muhyiddin mahu projek ini diganti dengan projek HSR Kuala Lumpur ke Johor Baharu sahaja dengan melanjutkan projek ERL milik YTL yang menggunakan sistem tren yang jauh lebih perlahan, kata pentadbir akaun Facebook Najib Razak.

Menurutnya, mengikut maklumat yang diperoleh ketika itu, kertas bagi pembatalan projek HSR KL-Singapura untuk digantikan dengan projek HSR KL-JB telah dibentang dalam Kabinet dengan membincangkan angka-angka berkenaan perbandingan unjuran jumlah penumpang, jumlah hasil pendapatan tambang HSR dan kos projek HSR KL-Singapura dengan KL-Johor Baharu.

Unjuran jumlah penumpang setahun dikatakan akan turun 10.4 juta orang (28%) dari 37.3 juta ke 26.9 juta penumpang manakala hasil pendapatan tambang akan menurun RM352 bilion dari RM929 bilion ke RM577 bilion sekiranya HSR KL-Singapura diganti dengan HSR KL-JB.

Sebaliknya, penjimatan kos projek HSR KL-JB cuma RM3.6 bilion ataupun 5.3% lebih murah berbanding projek HSR KL-Singapura iaitu dari RM68.2 bilion (KL-Singapura) ke RM64.6 bilion (KL-JB).

Sebanyak RM3.3 bilion juga akan dibayar kepada syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL KLIA-KL Sentral sedia ada manakala pampasan antara RM5.7 bilion hingga RM7.7 bilion telah diperuntukkan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat ERL bagi tempoh projek sebab projek dijangka akan rugi besar berpunca dari penurunan mendadak unjuran penumpang dan pendapatan projek.

Oleh itu, katanya, kerajaan sekarang perlu menyiasat adakah angka-angka yang didedahkan ini sama seperti dalam kertas Kabinet yang dibentang semasa jemaah menteri membuat keputusan pada akhir tahun 2020 lepas untuk membatalkan projek HSR KL-Singapura untuk diganti dengan projek HSR KL-Johor Baharu.

Siasat juga siapa pemegang saham terbesar syarikat ERL itu dan kenapa ia dipilih.

Soalnya lagi, kenapa kos RM3.3 bilion diperuntuk untuk membayar syarikat ERL bagi menaik taraf ERL sedia ada dan kenapa kos RM3.3 bilion yang diperuntuk untuk membayar syarikat ERL bagi menaik taraf ERL sedia ada dan adakah benar pampasan sehingga RM7.7 bilion tekag diperuntuk dan dipersetujui Kabinet kerajaan pimpinan Muhyiddin untuj dibayar sebagai pampasan kepada YTL.

Katanya, pembatalan prohek itu turut menyebabkan negara tertinggal dalam ASEAN manakala manfaat ekonomi jangka panjang sebanyak RM500 bilion akibat kehilangan peluang pelaburan dan pelancongan bagi Malaysia terlepas. – MalaysiaGazette