Wan Rosdy Wan Ismail bersama anak-anak muda Rompin di Padang Bola Sepak Kampung Kolam, di Kuala Rompin

ROMPIN – Peluang anak- anak muda Rompin yang gemar bermain bola sepak untuk beriadah pada waktu malam kini hampir tercapai apabila kerajaan negeri merancang membina lampu limpah di padang bola sepak Kampung Kolam, Kuala Rompin, dekat sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja membina lampu limpah itu.

Manakala Kerajaan Persekutuan pula meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membina stadium mini di lokasi yang sama, ujarnya.

“Saya sendiri telah meninjau kerja-kerja sedang giat dijalankan. Ini peringkat awal usaha Kerajaan Negeri bagi memenuhi impian murni anak muda Rompin memiliki sebuah stadium mini tercapai.

“Secara tidak langsung, padang ini akan menarik minat penganjur luar untuk datang ke Kuala Rompin sekaligus menaikkan aktiviti pelancongan serta merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Padang bola sepak Kampung Kolam yang dibina pada tahun 2020 menempatkan dua padang bola sepak.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan persekutuan telah meluluskan cadangan menaiktaraf Jeti Kargo di Kampung Tekek, Pulau Tioman bernilai RM7 juta dan membina masjid di Felda Selendang, Kuala Rompin berjumlah RM3 juta. – MalaysiaGazette