Pesakit dari Sabah turut diterbangkan untuk melakukan pembedahan jantung di HPP menerusi Program Miracle Baby.

GEORGE TOWN – Seramai 13 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang dan kongenital (kecacatan) selamat menjalani pembedahan melalui Program Miracle Baby di Hospital Pulau Pinang (HPP) setakat semalam.

Berdasarkan jumlah itu, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kanak-kanak dibedah setiap hari sejak 28 November lalu.

Pakar Pembedahan Kardiotorasik HPP, Datuk Dr. Basheer Ahamed Abdul Kareem berkata, seramai 20 pesakit kritikal diberi keutamaan menerusi program selama dua minggu itu dan mereka terdiri daripada bayi berusia enam bulan hingga remaja berusia 16 tahun.

Dr. Basheer Ahamed.

Jelas beliau, ketika ini, kira-kira 800 hingga 900 pesakit menunggu giliran untuk pembedahan masalah jantung di HPP namun keutamaan diberikan terhadap mereka yang kritikal.

Kata beliau, HPP menerima dan melakukan pembedahan jantung terhadap pesakit di seluruh utara semenanjung iaitu membabitkan Pulau Pinang, Kedah, Perak serta Perlis namun bagi Program Miracle Baby ini dua pesakit diterbang dari Sabah untuk melakukan pembedahan.

“Tiada had umur terhadap pesakit yang dibedah ini dan kita memilih untuk melakukan pembedahan terhadap mereka pada usia muda bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk.

“Setiap pembedahan mengambil masa minimum lapan jam namun ada juga kes yang memerlukan masa lebih 12 jam menyebabkan hanya sejumlah pesakit dibedah setakat ini.

“Kalau boleh kita nak lakukan pembedahan terhadap pesakit seramai mungkin namun ia bergantung kepada keadaan pesakit serta fasiliti,” katanya.

Dr. Basheer Ahamed ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Progaram Miracle Baby di HPP hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Tan Sri Dr. Sak Cheng Lum; Pengerusi Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH) India, Dr. Sreenivas Chodagam; Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Maarof Sudin dan Pengarah HPP, Dr. Teo Gim Sian.

Dr. Maarof (tengah) dan Dr. Teo turut hadir pada majlis perasmian Program Miracle Baby di HPP hari ini.

Mengulas lanjut Dr. Basheer Ahamed berkata, setiap pembedahan jantung di sektor swasta menelan kos RM60,000 hingga RM100,00 sekali gus melangkaui kemampuan kebanyakan keluarga di sini.

“Namun, menerusi Program Miracle Baby ini tiada sebarang kos pembedahan dikenakan terhadap pesakit dan ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Malah, pasukan pakar dari SSSSH juga datang ke sini atas aspek kemanusiaan dan tidak ada bayaran profesional atau apa-apa yang dikenakan mereka melarikan memberikan kita bantuan secara sukarela.

“Jadi saya percaya dan yakin KKM akan meneruskan program sebegini kerana ramai rakyat kita mendapat manfaat daripadanya khususnya kanak-kanak dapat menjalani kehidupan biasa seperti kita,” jelas beliau.

Bagi Dr. Sreenivas pula, beliau mengharapkan kerjasama dengan KKM ini diteruskan bagi menjadikan HPP sebagai pusat ikonik pembedahan jantung kanak-kanak pada masa depan.

Dr. Sreenivas

“Ini kerana dalam tempoh kerjasama yang dijalankan ini menunjukkan komitednya KKM khususnya HPP dalam memastikan nyawa kanak-kanak yang bergelut dengan masalah jantung diselamatkan tanpa sebarang prejudis.

“Selain itu, kerjasama yang tergendala akibat Covid-19 ini juga membuka ruang kepada pakar kami untuk berkongsi ilmu perubatan,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah Abdullah, 44, meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada KKM susulan anaknya bongsunya yang menderita masalah jantung berlubang selamat menjalani pembedahan pada Sabtu lalu.

Jelasnya, anak keempatnya, Nurul Atirah Mohammad Nasir, 9, menderita masalah jantung berlubang pada usia sebulan dan kolaborasi antara KKM dan SSSSH memberikan nafas baharu buat mereka sekeluarga yang menetap di Jitra, Kedah.

Siti Sarah bersama anak bongsunya, Nurul Atirah yang selamat menjalani pembedahan jantung melalui Program Miracle Baby di HPP pada Sabtu lalu.

“Alhamdulillah pembedahan anak saya yang tertangguh disebabkan Covid-19 telah selamat dilakukan jadi saya amat berterima kasih kepada semua doktor yang terlibat tak kira dalam negara mahupun luar negara.

“Pembedahan yang dilakukan mereka sangat bermakna buat kami sekeluarga kerana dapat melihat anak kami menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain berbanding sebelum ini yang memerlukan dia menghadkan penglibatan aktiviti di Sekolah Kebangsaan Jitra 3 khusus membabitkan sukan,” katanya. – MalaysiaGazette