Zahari Sarip

ISKANDAR PUTERI – Kemerosotan hasil pendaratan ikan di Johor sejak dua bulan lalu tidak memberi kesan kepada bekalan di pasaran negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, menurut rekod Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sejumlah 3,065 metrik tan (mt) ikan pendaratan direkodkan pada September.

Ia diikuti 2,585 mt pada Oktober dan 2,203 mt pada November.

Beliau berkata, trend penurunan pendaratan ikan direkodkan di empat Kompleks LKIM berpunca daripada angin kencang serta laut bergelora susulan musim tengkujuh, sekali gus menjejaskan aktiviti penangkapan kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.

Bagaimanapun, pemantauan terhadap pasaran runcit mendapati harga ikan di Johor masih stabil dengan bekalan masih mencukupi.

“Walaupun bekalan berkurangan sedikit, kami memberi jaminan ia mencukupi termasuk pada awal tahun depan,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail (BSI) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahari berkata, pihaknya akan bertemu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju serta perancangan negeri berkaitan bidang pertanian.

Perbincangan ini, katanya, penting untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Pusat terutama menteri berkaitan kerana aktiviti utama Johor adalah pertanian.

“Dalam pertemuan itu nanti diharap kita dapat membincangkan hala tuju dan apa yang sudah dirancang kerajaan negeri berkaitan pertanian. Ini penting untuk membantu penggiat utama industri pertanian di Johor.

“Malah saya juga akan bertemu dengan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri I pada Isnin atau Selasa depan bagi membincangkan kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ng Kor Sim (PH-DAP), Zahari berkata, kerajaan memperuntukkan RM43.63 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan membaiki jalan ladang serta infrastruktur lain di kawasan luar bandar bagi manfaat penduduk termasuk petani.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Johor dan Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) negeri.

“JPS Johor memperuntukkan RM31.45 juta bagi melaksanakan 242 projek merangkumi sembilan projek lintasan jalan ladang, selain 16 projek projek infrastruktur perairan, saliran pertanian dan asas tani, serta projek penyelenggaraan jalan luar bandar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dengan peruntukan RM217 juta.

“Menerusi pejabat KPLB Johor pula, sebanyak RM12.18 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 188 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) seluruh negeri tahun ini meliputi laluan sejauh 517.44 kilometer.

“Muar adalah daerah dengan jumlah bilangan projek tertinggi iaitu 51 projek bernilai RM3.43 juta, diikuti Batu Pahat (38 projek, RM2.29 juta); Tangkak (29 projek, RM1 juta); Segamat (27 projek, RM2.4 juta) dan Pontian (17 projek, 570,000),” katanya.-MalaysiaGazette