PH judi
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disarankan supaya mengikut jejak langkah negeri-negeri di bawah Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu pasti akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam terhadap kerajaan.

“Malah, Pas juga menawarkan diri membantu negeri-negeri yang ditadbir PH dalam kaedah pelaksanaan polisi pengharaman judi sepertimana yang dilaksanakan di negeri-negeri bawah pentadbiran Pas dan PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cabutan khas perjudian dikembalikan kepada kekerapan yang terdahulu iaitu lapan kali setahun mulai 1 Januari depan.

Dengan pengumuman itu, Anwar membatalkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu awal tahun ini yang menaikkan kekerapan cabutan khas perjudian kepada 22 kali setahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris menyifatkan pengumuman Anwar yang berulang kali menyebut PN dalam ucapannya seolah-olah cuba untuk menyasarkan tarikan serta cuba menjadi relevan dalam kalangan umat Melayu-Islam di Malaysia.

Beliau memberitahu, judi bukan isu picisan dan ia sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

“Berhubung kenyataan sinikal Anwar menyerang PN perihal saluran dana politik oleh tauke-tauke judi ini sebenarnya perlu dilihat pada mesej utamanya iaitu keuntungan yang diperoleh oleh tauke-tauke judi ini begitu tinggi sehinggakan mereka mampu menaja parti-parti politik.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan diselidik secara serius,” jelasnya.

Idris berkata, perkara itu bukan baharu malah bekas Pengarah Magnum, Datuk Seri S. Nallakaruppan pernah mendakwa beliau memberi sokongan kepada Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. – MalaysiaGazette