Pemandu lori berusia 29 tahun patah tangan dan kedua-dua kaki selepas lori rempuh plaza tol Ayer Hitam di Cyberjaya dalam kejadian kemalangan hari ini. Foto: Bomba Cyberjaya

KUALA LUMPUR  – Seorang pemandu lori patah tangan kiri dan kedua-dua kakinya selepas lori yang dipandunya mengalami masalah brek yang menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh Plaza Tol Ayer Hitam, Puchong, dekat sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya berkata, bilik operasi yang menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 2.53 petang mengerahkan sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dan jentera bomba ke lokasi nahas itu.

“Sejurus tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 petang, pihak kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat rempuhan kuat itu, kepala lori berkenaan remuk teruk menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk.

“Mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan bantuan peralatan khas.

“Mangsa yang dikeluarkan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan lanjut dengan kadar segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette