Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan dan fitnah tentang dana judi dan Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon ketua pembangkang yang telah dipersetujui oleh semua parti komponen blok politik itu.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkan buat masa sekarang.

“Itu tunggu pengumuman daripada parti kami, sudah ada (calon), orangnya pun Insya-Allah berwibawa.

“Parti mana saya tak boleh umum. Calon ini mendapat persetujuan kesemua parti komponen PN.

“Saya yakin ketua pembangkang ini yang mampu menawarkan semak dan imbang yang baik kepada kerajaan hari ini Insya-Allah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan pelantikan Datuk Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, kerusi ketua pembangkang hampir pasti milik parti komponen PN.

Keengganan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan menyebabkan blok politik itu bukan sebahagian daripada kerajaan pada hari ini.

Sementara itu, mengulas tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meninggalkan PN baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal berkata, ia tidak menjejaskan perjalanan parti itu.

“Kita tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membuat demikian.

“Mereka ada hak yang sama, seperti mana parti-parti lain untuk memilih jajaran yang mereka mahukan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Star dan terima kasih kerana selama hari ini bersama dengan kami. Kita hormat keputusan Star,” katanya. – MalaysiaGazette