1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ramndaripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes laporan audit 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Dalam keputusan sebulat suara oleh tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan memuktamadkan Sri Ram tidak terlibat dengan siasatan-siasatan berkaitan kes 1MDB sebelum ini.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel halkim itu berkata, pihaknya berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya.

“Lantikan Sri Ram tidak dicemari dengan unsur berat sebelah mahupun konflik kepentingan berikutan satu kunjungan Sri Ram ke rumah Mohamed Apandi serta dakwaan beberapa siri perbualan antara mereka.

“Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika menolak rayuan Najib. Panel ini tidak perlu campur tangan untuk mengubahnya,” katanya.

Pada 8 September 2021, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan rayuan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes laporan audit 1MDB.

Hakim Datuk Yaacob Md. Sam yang mengetuai panel tersebut berkata, mahkamah berpendapat tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan Najib.

Memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram, disokong dua afidavit masing-masing daripada beliau dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram memberitahunya yang pemimpin pembangkang ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkannya menahan Najib atas kesalahan yang tidak dinyatakan pada Januari 2018.

Untuk makluman, Mahkamah Tinggi KL bakal membuat keputusan sama ada Najib akan dipanggil membela diri atau bebas daripada pertuduhan meminda dan bersubahat meminda laporan audit 1MDB pada 30 Januari tahun depan.

Turut dibicarakan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat bagi melindungi Najib. – MalaysiaGazette