Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk mendedahkan senarai dana yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) khususnya bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada umum.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara hanya boleh didedahkan sekiranya Akta Pembiayaan Politik diluluskan di Parlimen.

“Setakat ini tidak ada, kita tidak mengeluarkan sebarang senarai itu.

“Tidak ada satu pun (parti politik) tapi kita terbuka, kalau di dalam Parlimen nanti untuk membahaskan akta berkenaan dengan pendanaan politik.

“Kalau itu jadi perkara utama, silakan saya sebagai Ahli Parlimen menyahut usaha ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar kerana mendakwa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen politik dalam PRU15, bulan lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Wan Ahmad Fayhsal juga mendedahkan, jika Akta Pembiayaan Politik dibentang dan diluluskan di Parlimen ketika pentadbiran kerajaan lalu, sudah pasti senarai pendanaan politik itu boleh didedahkan kepada umum.

“Ia sepatutnya diselesaikan zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tapi kita bubar Parlimen, tak sempat buat perkara itu. Jadi tak apa, kita tunggu lah sesi Parlimen selanjutnya tentang hal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette