Foto. Ihsan Medkom

ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor agar sentiasa berhemah.

Selain itu mereka juga perlu melakukan penyesuaian politik susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ini perlu berikutan keputusan PRU15 yang mengejutkan dan di luar jangkaan yang mana memerlukan Ahli Dewan melakukan penyesuaian segera.

“Terdahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai pada PRU15 yang tamat semalam.

“Tetapi saya juga mahu ingatkan pada semua Ahli Dewan melakukan penyesuaian politik segera susulan keputusan PRU15 yang sudah selesai.

“Anda (Ahli Dewan) juga perlu bergerak membantu dan turun padang untuk membantu rakyat selain perlu mengelakkan sebarang konflik berdasar kaum dan agama,” katanya sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mula bersidang, hari ini.

Malam tadi, Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi.

Bagi DUN Tioman, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain pula mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.

Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu,  BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga; manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Kerajaan Johor sebelum ini adalah kerajaan campuran disokong Paeri Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast