Sebuah bot nelayan tempatan yang dikesan menggaji kru asing dan menangkap ikan di zon larangan perairan negara di Kuala Selangor ditahan Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang tekong dan tiga nelayan warga asing yang gagal mengemukakan pengenalan diri semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten V. Siva Kumar berkata, bot nelayan itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi ketika krunya sedang menangkap ikan di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong, Tanjung Karang.

“Pasukan kami ketika terlibat rondaan pengawasan rutin di perairan tersebut mengesan aktiviti bot nelayan itu dalam Op Ehsan dan Op Benteng Laut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Malaysia dan tiga warga Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Sebuah bot nelayan tempatan yang dikesan menggaji kru asing dan menangkap ikan di zon larangan perairan negara di Kuala Selangor berjaya diberkas maritim selangor semalam. Ihsan Maritim Selangor

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru warga asing itu yang ditahan itu gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguatkuasa di lokasi penahanan atas perairan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Siva Kumar, bot nelayan itu bersama kesemua kru terbabit dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat menjalankan siasatan.

Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua kru warga asing digajikan oleh pengendali bot nelayan tempatan itu antara tiga hingga enam bulan lalu dan kesemua mereka terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan lebih 100 kilogram di perairan tersebut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Siva Kumar berkata, kesemua mereka juga disiasat kerana menangkap ikan di bawah 5 batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas. – MalaysiaGazette