KUALA LUMPUR – Kekerapan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan ditingkatkan pada suku ketiga tahun ini.
Berikutan itu jarak antara tren dikurangkan kepada tiga minit berbanding lima minit ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini sebanyak 38 set tren beroperasi dengan jarak lima antara tren dan 56 set tren diperlukan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan itu.
Katanya, peningkatan kekerapan perkhidmatan itu tidak dapat dilakukan ketika ini memandangkan sebanyak 18 set tren dalam proses penyelenggaraan dan ia dilakukan secara berperingkat.
“Kita akan cuba mempercepatkan proses ini dan dijangka 56 set tren dapat beroperasi sepenuhnya pada suka ketiga tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony memberi bayangan bahawa mungkin terdapat operasi tren tergendala sehingga Jun tahun depan sebelum keadaan menjadi stabil.
Katanya, apa yang boleh dilakukan Prasarana ialah mengurangkan gangguan itu. – MalaysiaGazette