UMNO PN PAS MN Perikatan Nasional Muafakat Nasional Islam politics Nik Abduh Nik Aziz white flag campaign movement #benderaputih
Nik Abduh Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman memberi isyarat jelas Perikatan Nasional (PN) semakin diterima rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penerimaan terhadap gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat dilihat apabila rakyat memberi kemenangan besar buat PN di Padang Serai.

“Tahniah buat pengundi memberikan kemenangan besar buat PN di Padang Serai dan tentangan sengit terhadap Barisan Nasional (BN) di Tioman.

“Ia isyarat yang jelas bahawa mood pembaharuan oleh PN terus diterima oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pada pilihan raya itu, calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Sementara itu, bagi DUN Tioman, BN mempertahan kerusi tersebut dengan majoriti hanya 573 undi.

Calon BN, Datuk Seri Mohd Johari memperoleh 8,080 undi untuk menewaskan Nor Idayu Hashim daripada PN dengan 7,507 undi.

Pilihan raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian penyandangnya, M Karupaiya manakala bagi DUN Tioman pula calon PN, Md Yunus Ramli meninggal dunia beberapa jam sebelum hari pengundian 19 November lalu. – MalaysiaGazette