Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya

KUALA LUMPUR – Lajnah Kesihatan Pas Pusat bersedia bertemu mana-mana NGO berkaitan kesihatan yang tidak berpuas hati dengan pindaan Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2022 yang diluluskan kerajaan Terengganu 10 November lalu.

Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, pihaknya sedia menjelaskan mengenai pindaan itu supaya NGO berkenaan faham dan tidak membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan Terengganu.

Kata beliau, pihaknya sendiri telah menganjurkan sesi libat urus kelmarin dengan Ketua Pendakwa Syariah Terengganu mengenai pindaan itu.

“Melalui sesi itu, kita dapat simpulkan beberapa rumusan, antaranya, Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu yang baharu diluluskan itu adalah hukum takzir, bukan hudud.

“Hukuman ini melibatkan kesalahan berkaitan dengan melahirkan anak luar nikah dan perkara ini masih dalam ruang lingkup bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Akta 356.

“Kesalahan berkaitan dengan zina (hudud) pula telah diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah II,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawan kebimbangan Suruhanjaya Hal Asasi Manusia (Suhakam) berhubung pindaan itu.

Suhakam dalam kenyataan menyatakan, 10 badan bukan kerajaan termasuk Sisters in Islam (SIS), All Women’s Action Society (AWAM) dan Justice for Sisters (JFS) menyatakan kebimbangan mereka dengan pindaan enakmen itu.

Menurut Dr. Mohd Mazri, pindaan itu bukan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Katanya, seksyen bagi kesalahan yang sama juga diperuntukkan dalam sebahagian enakmen negeri lain seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Melaka.

“Dalam erti kata lain, negeri selain Terengganu telah lebih awal mewujudkan peruntukan yang sama.

“Kerajaan Terengganu membuat pindaan itu bagi membendung kesalahan berkaitan melahirkan anak luar nikah yang dilihat semakin hari semakin meningkat.

“Dalam kes yang ekstrem, kelahiran itu berlaku berulang kali dan si pelaku dengan tanpa rasa takut mengaku bersalah serta sanggup membayar denda yang dianggap rendah,” ujar beliau.

Jelasnya, falsafah pindaan itu juga bukan untuk menjatuhkan hukuman, apatah lagi menzalimi atau menyeksa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut, tetapi bersifat mendatangkan kegerunan bagi mereka yang berjinak-jinak ataupun ingin melakukan maksiat seumpama itu.

Enakmen berkenaan, tegasnya, tidak mendiskriminasi wanita kerana dengan jelas klausa di dalam seksyen tersebut memperincikan kedua-dua pihak iaitu lelaki dan wanita apabila disabit kesalahan akan menerima hukuman seperti yang termaktub dalam enakmen tersebut.

“Kesalahan rogol atau melahirkan anak luar nikah hasil persetubuhan paksa, contohnya, tidak termasuk dalam seksyen ini.

“Seksyen ini dengan jelas mengehadkan hukuman kepada hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya iaitu di bawah Seksyen 29 A (3).

“Ini secara automatik telah mengecualikan kes rogol daripada didakwa di bawah seksyen ini. Perlu difahami, bahawa jenayah rogol adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, bukan bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Kata Dr. Mohd Mazri lagi, had umur dalam penentuan enakmen itu adalah kepada wanita dan lelaki berumur melebihi 16 tahun, manakala bagi pelaku bawah 16 tahun dikategorikan sebagai pesalah muda.

“Hukuman bagi pesalah muda berumur 10 sehingga 16 tahun dalam negeri Terengganu tidak melibatkan penjara dan rotan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak, khususnya badan-badan profesional agar bersama berganding bahu dalam menyuburkan kefahaman berkenaan isu yang dibangkitkan itu.

Ujarnya, usaha murni kerajaan Terengganu untuk memartabatkan penyelesaian Islami dalam permasalahan umat Islam itu sendiri harus diberikan sokongan padu. – MalaysiaGazette