S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyiasat kes penyelewengan dana geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM3.5 juta untuk sekolah Tamil.

Pengerusinya, S. Gobi Krishnan berkata, kes itu melibatkan seorang bekas Timbalan Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata beliau, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Anwar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam tempoh terdekat bagi tujuan supaya siasatan dilakukan.

“Sebelum ini MBC berhasrat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi tidak yakin siasatan akan dilakukan ke atas Timbalan Menteri berkenaan.

“Oleh itu, MBA menyeru Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan mengambil berat isu ini dengan mengarahkan pihak berkuasa melakukan siasatan segera kes penyelewengan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Gobi berkata, pada Januari tahun lalu, tiga pegawai khas Timbalan Menteri berkenaan telah ditahan reman dan masih melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kini.

Jelas beliau, dua daripada tiga bekas pegawai khas itu adalah antara ahli jawatankuasa pusat sayap Parti Bersatu.

“Kita tertanya-tanya apa berlaku dengan siasatan SPRM berhubung kes ini sekarang kerana sudah hampir dua tahun kes belum mendapat sebarang perkhabaran.

“Saya harap Perdana Menteri mengotakan janji anti-rasuah beliau dengan mengambil tindakan segera. Apatah lagi kes ini melibatkan wang geran MITRA milik masyarakat India yang telah disalahgunakan,” katanya. – MalaysiaGazette