Rafizi Ramli.- Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Ekonomi lima hari lalu menjelaskan minggu pertamanya  dipenuhi dengan banyak agenda.

Tempoh tersebut antaranya digunakan sebagai sesi perkenalan dengan pegawai dan kakitangan kementerian yang diterajuinya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, dia mengunakan masa berkenaan untuk mengenali dengan dekat semua pegawai tertinggi dan kakitangan terbabit.

Ini kerana kakitangan kementerian merupakan pasukan beliau dan menjadi nadi untuk memperbaiki ekonomi.

Rafizi berkata, beliau juga menggunakan masa sepanjang minggu pertama sebagai menteri untuk mendalami kedudukan ekonomi sekarang dan unjurannya pada masa depan.

Beliau juga berkata, tempoh tersebut digunakan untuk menyusun perancangan kementerian untuk tempoh enam bulan akan datang.

Timbalan Presiden PKR itu dalam ciapan di Twitter berkata, beliau juga sedang menyusun program-program berimpak besar dengan cepat.

Sementara itu, Rafizi memberi jaminan akan mengambil perhatian terhadap semua pandangan yang dilemparkan kepada beliau di Twitter.

Ini termasuk pandangan berkaitan ekonomi, politik dan juga hal-hal fizikal seperti rambutnya yang semakin menipis.

“Terima kasih segala pandangan di Twitterjaya mengenai politik, ekonomi dan kepala botak saya. Saya mendengar dan ambil kira semua.

“Ada yang boleh dilaksana segera, ada yang akan disusun segera kecuali psl rambut. Yang penting usaha dan ikhlas,” ciap Rafizi di Twitter awal pagi ini. – MalaysiaGazette