Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Datin Seri Rosmah Mansor ke Ibupejabat UMNO mengejutkan wakil media yang membuat liputan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn malam ini.

“Jangan ambil gambar saya,” kata isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu ketika memasuki Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 8 malam diiringi seorang pengiring wanita.

Ia dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum Timbalan Perdana Menteri itu mempengerusikan mesyuarat MKT malam ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

Antara ahli-ahli MKT yang dilihat tiba adalah Datuk Rosnah Shirlin, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Ab Rauf Yusof dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – MalaysiaGazette