Tomok.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Tomok yang turut bergelar usahawan francais minuman popular mendakwa pekerjanya dipukau seorang pelanggan ketika sedang berurusan di sebuah kiosk jualan di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Selangor.

Menerusi hantaran Instagram miliknya, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail turut menunjukkan video  pekerjanya didesak memberikan wang baki tanpa membuat pembayaran terlebih dahulu.

“Semalam pekerja saya seolah-olah kena scam di kedai kami di Chatime Setia City Mall. Individu itu datang dan membuat pesanan air.

“Selepas itu dia terus meminta duit baki sedangkan dia belum membuat pembayaran air tersebut,” tulisnya.

Insiden tersebut dibuktikan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan perbuatan tidak bertanggungjawab seorang pelanggan lelaki terhadap pekerjanya.

Malah, lebih mengejutkan apabila individu itu kembali semula ke kaunter sama untuk membuat penukaran wang.

“Kalau kalian boleh tengok dalam video, dia seolah-olah memaksa untuk mendapatkan duit baki dengan cepat.

“Jadi, pekerja saya memberikan duit baki yang diminta yang bernilai RM87 dan dia datang semula untuk menukar duit dari baki yang diambil sebentar tadi,” tulisnya.

Anggota kumpulan New Boyz itu turut berkongsi rasa kesal kerana dia baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, Tomok telah membuat laporan polis dan meninggalkan pesanan supaya orang lain lebih berhati-hati agar tidak melalui situasi yang sama sepertinya.

“Dia terus hilang selepas kejadian dan pekerja saya rasa seperti kena pukau. Saya baru mahu meniaga tetapi dia senang-senang datang dan ambil duit dalam jumlah yang banyak.

“Hati-hati semua. Kami sudah melakukan laporan polis. Semoga individu terbabit ditangkap. Perbuatan yang sangat kurang ajar.” ujar pelantun lagu Arjuna.

Sebelum ini, Tomok berkongsi rasa teruja dapat memulakan perniagaan Chatime pada 20 Oktober lalu di Setia City Mall, Shah Alam. – MalaysiaGazette