Persembahan dari Altimet pada Anugerah Meletop Era 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Altimet, tidak menghalang mana-mana penyokong parti untuk mendendangkan lagu Aduh Malaysia (Hoi hoi hoi siapa sokong penyamun).

Beliau berkata, semua lagu rap ciptaannya memang ditujukan kepada rakyat.

“Tak pernah. Kalau check balik pelancaran jentera PRU UMNO Selangor guna lagu Bangkit. Saya tak halang pun. Rap untuk rakyat,” kata Ketua Cabang PKR Ampang itu.

Beliau menjawab pertanyaan seorang pengikut di Twitter sama ada pernah melarang mana-mana penyokong parti mendendangkan lagu yang popular ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Lagu berkenaan meletup semula apabila penyokong-penyokong Perikatan Nasional (PN) menyanyikan lagu berkenaan selepas kerusi Parlimen Padang Serai dimenangi calon parti tersebut.

“Altimet bro, kau pernah halang ke penyokong parti mana mana dari nyanyi lagu kau? Rasa macam sekali pun tak pernah,” soal peminat yang menggunakan akaun bernama Iqrarzahin.

Sementara itu Altimet dalam ciapannya juga memberi pencerahan bahawa dia tidak pernah dijemput untuk mendendangkan lagu ‘Ayuh Malaysia’ ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Serai berlangsung.

Beliau menjawab soalan daripada Mohd. Nazirul Mubin sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai Bang Non menjemputnya untuk membuat persembahan semasa parti itu melakukan kempen pilihan raya.

“Nak tanya boleh? Bang Non tak jemput hang nyanyi lagu kat padang serai ke ?” soal Mohd. Nazirul Mubin.

“Bang Non? Bang, no,” jawap Altimet ringkas di Twitter.

Media semalam melaporkan, penyanyi dan penulis lagu Aduh Malaysia, itu menyerahkan royalti lagu yang diinspirasi menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok kepada waris seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, ia sebagai hadiah dan penghargaan atas jasa yang dicurahkan seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.

Beliau sebelum itu menjawab soalan daripada pengikutnya sama ada mahu menuntut royalti daripada penyokong PN yang menyanyikan lagu itu untuk meraikan kemenangan calon parti tersebut.

Altimet mencipta lagu ‘Penyamun’ dengan mengubah lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun hasil ciptaan P. Ramlee.

Lagu itu kemudian menjadi trending sepanjang kempen PRU15 dan digunakan oleh pemimpin serta jentera PH sebagai bahan kempen.-MalaysiaGazette