Polis Pinang menahan 31 individu dipercayai ejen bookie membabitkan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 41 individu dan merampas had kredit pertaruhan bernilai RM1,160,723 membabitkan kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX, bermula 19 Nov lepas hingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka terdiri daripada 38 lelaki dan tiga wanita termasuk seorang wanita warga asing ditahan dalam 24 serbuan berasingan sekitar ibu negara.

Beliau berkata pelbagai peralatan peranti elektronik antaranya enam komputer, 56 telefon bimbit, kad sim dan wang tunai RM2,306 dirampas.

“Setakat semalam, sebanyak 24 kertas siasatan dibuka dengan 18 individu telah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e), Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Azmi berkata orang ramai diingatkan untuk tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan perjudian haram kerana tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati terlibat.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline D7 Kuala Lumpur di talian 014-2697678,” katanya.- BERNAMA