Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan senarai barisan anggota Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sidang media khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyenaraikan 27 orang timbalan menteri dalam senarai Kabinet beliau malam tadi.

Anwar melantik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri Kewangan 1 dan Steven Sim dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, kesemua timbalan menteri tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan mengangkat sumpah di Istana Negara pukul 3 petang esok.

“Setelah berbincang dengan ketua-ketua serta perwakilan semua parti, saya telah persembahkan senarai timbalan menteri pada Yang Di-pertuan Agong dan akan mengangkat sumpah jawatan jam 3 petang esok,” katanya lagi.

Antara muka-muka baharu yang diangkat adalah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adly dilantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Turut tersenarai adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dna Reformasi Institusi).

Juga muka baharu adalah Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (Datuk Rubiah Wang); Kementerian Perladangan & Komoditi (Datuk Siti Aminah Aching); Kementerian Pengangkutan (Datuk Hasbi Habullah), Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (Chang Fung Hin), Kementerian Pendidikan Tinggi (Yusuf Afdal), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (Aiman Nafirah Sabu).

Lain adalah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (Hwang Tiong Si); Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (Khairul Firdaus Akhbar Khan); Kementerian Kesihatan (Lukanisman Awang Sauni) dan Kementerian Pendidikan (Lim Hui Ying).

Selain itu, dua timbalan menteri yang dilantik Senator Dewan Negara adalah Fuziah Salleh sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia serta Saraswathi Kandasamy (Pembangunan Usahawan & Koperasi). –

Muka-muka lama yang turut dilantik timbalan menteri adalah Datuk Abd Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Kerja Raya); Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Timbalan Menteri Dalam Negeri),; Liew Chin Tong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital) – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar lantik dua Timbalan Menteri Kewangan