Fadzli (tiga dari kanan) mendengar aduan Azizah (tiga dari kiri) di hadapan rumah dihempap tanah dan menggelungsur di Kampung Pamah Rawas, Raub hari ini.

RAUB – Sebuah rumah dihempap tanah menggelungsur dari lereng sebuah bukitĀ  ekoran hujan lebat dan banjir di Kampung Pamah Rawas dekat sini pagi semalam.

Rumah tersebut didiami oleh seorang ibu tunggal bersama lima ahli keluarganya bagaimanapun sempat diselamatkan dan keluar dari rumah tersebut.

Mangsa, Azizah Muda, 70, berkata, dia sekeluarga nyaris terancam nyawa apabila rumahnya dihempap tanah yang menggelungsur dan rumah mereka hampir runtuh sepenuhnya.

“Sejak hujan lebat yang turun kebelakangan ini, selalunya cuma air dari kawasan bukit mengalir turun memenuhi kawasan rumah tetapi pagi semalam, saya terkejut dari tidur apabila terdengar bunyi hentakan yang kuat dan mendapati timbunan tanah menghempap di bahagian dinding rumah pada pukul 2 pagi,” katanya.

Menurut Azizah, ketika kejdaian, dia berasa rumahnya turut menggelungsur perlahan-lahan ke bawah serta hampir roboh dan bertindak mengejutkan ahli keluarganya supaya segera keluar kerana bimbang dengan keselamatan nyawa.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat membantu membaikpulih atau membina rumah baharu . Sekiranya masih tinggal di kawasan ini kemungkinan bencana yang sama akan berulang dan paling membimbangkan ancaman terhadap keselamatan nyawa ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Dong yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal yang melawat tempat kejadian hari ini memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mangsa terlibat. – MalaysiaGazette