KUANTAN – Seorang wanita kerugian RM2,000 akibat terpedaya dengan janji individu yang menyamar sebagai pegawai bank bagi mendapatkan kelulusan pinjaman sebanyak RM10,000.
Menurut Lee Xin Yuen, beliau yang membuat permohonan pinjaman di sebuah bank di Kuantan pada 1 Disember lalu namun dimaklumkan permohonannya itu tidak diluluskan lima hari kemudian.
Bagaimanapun, Xin Yuen berkata, pada hari berikutnya beliau menerima panggilan daripada nombor telefon yang sama mengatakan pinjamannya boleh diluluskan jika beberapa bayaran untuk tujuan memproses pinjaman dilakukan.
Beliau diminta meneruskan urusan pengesahan diri menerusi aplikasi Whatsapp selain perlu menghantar maklumat peribadi seperti salinan kad pengenalan, gambar, slip gaji, penyata bank dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada ‘kakitangan bank’ tersebut.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, ‘pegawai bank’ berkenaan juga menunjukkan gambar kad nama sebagai kakitangan bank untuk meyakinkannya.
“Selepas itu, pada hari yang sama, sekitar pukul 2 petang, saya dapati terdapat aliran duit masuk dalam akaun saya dan dalam masa sama juga ‘pegawai bank’ tersebut menelefonnya memaklumkan wang saya sudah masuk akaun.
“Saya pergi ke bank untuk membuat semakan di mesin juruwang automatik (ATM) dan mendapati memang ada sejumlah RM10,000 masih floating dalam akaun saya.
“Tetapi duit itu akan floating dan belum dapat digunakan lagi. Selepas itu, dia suruh saya masukkan RM2,500 untuk pengurusan scoring. Maksudnya markah dalam masa pinjaman,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Pejabat Khidmat Komuniti Ahli Dewan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang di sini hari ini.
Xin Yuen yang curiga apabila mendapati wang RM10,000 lesap setelah duit yang diminta itu diberikan kepada ‘pegawai bank’ berkenaan menyebabkan beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Rabu lalu.
Beliau turut membuat aduan bank terbabit sebelum itu.
Sementara itu, Chun Kuang memberi jaminan akan membantu Xin Yuen daripada segi keperluan hariannya sekeluarga sehingga penyelesaian diperoleh.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik scammer yang menyamar sebagai pegawai bank. -MalaysiaGazette