Antara dadah yang berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dalam sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 213kg syabu serta 33kg pil erimin 5 yang bernilai RM10 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 28,710 individu kerana disyaki terlibat pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara dalam ‘Op Tapis Khas 1 hingga 7’ bagi tempoh awal Januari sehingga kini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, daripada jumlah itu 16,433 adalah penagih dadah, tokan (4,498), lain-lain kesalahan (3,144), Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 (2,102), orang yang dikehendaki (1,685) dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (848).

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan PDRM turut merampas sejumlah 2,241.53 kilogram dan 4,966.44 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM19.8 juta.

“Selain itu, PDRM juga mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM612,563,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata pecahan aset yang disita melibatkan wang tunai bernilai RM32,663, barangan kemas RM49,600 dan kenderaan bernilai RM530,300.

Menurutnya, objektif operasi khas itu antaranya untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di hotspot yang dikenal pasti, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap orang dikehendaki atas kesalahan dadah.

“PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Selain itu, PDRM berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – BERNAMA