KOTA KINABALU – Sebanyak 42 karya lukisan hasil sentuhan 18 seniman dari Malaysia dan luar negara dipamerkan pada Pameran Panggilan Pulau di Galeri Azman Hasim (GAH) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pameran di bawah Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA) itu telah dibuka sejak 5 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.
Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit berkata, pameran bertaraf antarabangsa yang julung kalinya diadakan di galeri tersebut dan menjadi satu acara yang dinantikan oleh semua peminat seni khususnya para pelukis, seniman, mahasiswa dan pelajar di Sabah.
”GAH-UMS sebagai pusat sehenti sentiasa mengadakan pameran berkala karyawan tanah air dan luar negara untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan menilai serta membuat rujukan terhadap perkembangan seni global. Peranan galeri GAH-UMS akan menyumbang dan memberi nilai tambah kepada usaha memasyarakatkan seni visual dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah,” katanya.
Ujar beliau, GAH-UMS juga akan terus memberi ruang kepada pelbagai sesi pameran karya, seminar, bengkel, pertandingan, aktiviti seni persembahan, tayangan filem dan persembahan muzik.
Usaha ini diharap dapat menyalurkan info dan rujukan kepada mahasiswa dan para penyelidik khususnya seni berelemenkan budaya Sabah.
“Pada pameran kali ini, kumpulan pelukis PERUPA berkongsi makna melalui pengisian naratif secara laras bahasa visual di sebuah lokasi pulau indah dengan penampilan komuniti maritim yang jauh dari hiruk piruk sebuah kota.
”Saya bagi pihak UMS mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua seniman yang terlibat, dan seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan pameran seni Panggilan Pulau ini,” katanya ketika merasmikan pameran itu. – MalaysiaGazette