Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan .- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan berjanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berikrar untuk bekerja lebih gigih untukĀ  rakyat dan negara.

Dalam ciapan di Twitter sejurus diumumkan berada dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau turut menegaskan akan berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia.

“Terima kasih atas kepercayaan melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan berikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi rakyat dan negara dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia,” katanya.

Ahmad dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas kali terakhir berkhidmat di bawah portfolio itu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan jawatan yang diberikan kepadanya merupakan satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh tangggungjawab.

Serentak itu pemimpin UMNO itu meminta supaya rakyat mendoakan beliau diberikan kekuatan dalam menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas berkenaan.

“Sukacita saya ucapkan berbanyak terima kasih atas ucapan tahniah daripada rakan-rakan semua.

“Jawatan adalah suatu amanah berat yang mesti ditunaikan. Saya akan lakukan yang terbaik. Demi rakyat dan negara.

“Mohon doakan agar saya sentiasa diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi pelbagai cabaran,” kata Ahmad.

Anwar malam tadi mengumumkan senarai nama 27 timbalan menteri ke dalam Kabinet beliau dengan 15 muka daripadanya muka baharu.

Selain Ahmad turut dilantik untuk jawatan Timbalan Menteri Kewangan adalah pemimpin DAP, Steven Sim yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Kementerian Kewangan dipimpin sendiri oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Barisan Kerajaan Perpaduan Anwar merangkumi seramai 55 menteri dan timbalan menteri.-MalaysiaGazette