Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan aliran lebih tinggi minggu depan, dengan indeks utama bergerak dalam julat 1,470 hingga 1,500, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, sentimen belian di bursa tempatan berkemungkinan berterusan minggu depan susulan sokongan belian yang ketara daripada pelabur nstitusi tempatan minggu ini, ditambah dengan peningkatan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran domestik.

“(Pasaran tempatan) mengalami pergerakan mendatar minggu ini disebabkan kekurangan minat belian dan penjualan ekuiti serantau oleh dana asing,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, ekuiti global meningkat didorong harapan bahawa langkah anti-COVID-19 yang dilonggarkan oleh China akan membantu memulihkan rantaian bekalan global dan mengekang inflasi.

Sementara itu, penganalisis lain pula berkata, pasaran ekuiti global juga mungkin dipengaruhi oleh hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 13 dan 14 Dis ini.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, minggu depan akan tertumpu kepada Indeks Harga Pengguna AS dan isyarat Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah seterusnya.

“Bagi kedua-duanya dengan berdasarkan unjuran inflasi berasaskan pasaran semasa, saya berpandangan kedua-duanya tidak akan menimbulkan masalah ke atas sentimen risiko namun saya beralih lebih defensif terhadap China selepas lantunan pembukaan semula yang besar disebabkan peningkatan kes COVID-19 yang dijangkakan,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 4.61 mata kepada 1,477.19 daripada 1,481.80 pada Jumaat minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 45.79 mata kepada 10,607.41; Indeks FBMT 100 turun 48.30 mata kepada 10,308.85; FBM 70 merosot 124.97 mata kepada 12,946.22; Indeks FBM Emas Syariah susut 89.74 mata kepada 10,788.17 manakala FBM ACE melonjak 151.61 mata kepada 5,517.5.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.23 mata kepada 181.59; Indeks Perladangan susut 79.97 mata kepada 6,727.88; Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 48.62 mata kepada 16,495.04 dan Indeks Tenaga turun 22.21 mata kepada 777.90.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.68 bilion unit bernilai RM10.65 bilion daripada 15.39 bilion unit bernilai RM12.23 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 11.73 bilion saham bernilai RM8.51 bilion daripada 9.42 bilion saham bernilai RM10.67 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM373.42 juta berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM247.57 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 5.18 bilion saham bernilai RM1.76 bilion daripada 4.53 bilion saham bernilai RM1.31 bilion minggu lepas. – BERNAMA