Mohamad Hasan bercakap dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Tahun 2020 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan enggan bercakap lagi mengenai perkara lepas melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sebaliknya mahu memastikan projek penting aset pertahanan negara itu diterus dan disiapkan.

”Jangan cakap lagi pasal perkara yang lepas tetapi apa yang kita akan capai kerana ia aset strategik bagi pertahanan negara, jadi kita perlu tumpu apa yang perlu dilakukan,” Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Tahun 2020 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini hari ini.

Jelasnya, beliau akan mendengar taklimat daripada pihak-pihak berkenaan dan melihat sendiri latar belakang projek itu serta isu-isu yang melibatkannya sebelum memberi penjelasan lanjut.

Mohamad menambah, beliau akan berusaha bersama-sama kepimpinan Kementerian Pertahanan memastikan projek pembinaan kapal-kapal ini dapat disiapkan dalam keadaan terbaik.

Projek LCS dianggap perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan mencetuskan kontroversi selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada sebuah pun kapal itu disiapkan walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan akan meneliti isu-isu kebajikan tentera terutamanya daari segi elaun, veteran dan perumahan berdasarkan kemampuan negara.

Katanya, negara perlu bersedia kemungkinan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dalam tempoh dua tahun lagi.

“Jadi kita kena beri keutamaan yang mana kita perlu ada untuk kita pastikan ianya dapat disusun atur dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. PERKARA-PERKARA LEPAS TERMASUK RASUAH2 SELEWENG DANA KOMISEN PROJEK KLUSTER2 MAHKAMAH…..akhirnya akan TERLEPAS BEGITU saja bila MENJADI KLUSTER KAYANGAN

  2. kambus jangan tidak kambus, nanti kalau sudah tidak jadi menteri tidak boleh hendak tutup. Ikut kata presiden jangan lupa ambil sedikit.

Comments are closed.