Adam Adli ketika keluar dari Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta supaya tidak memanjangkan perbalahan politik kerana pilihan raya umum telah pun selesai.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik Adam Adli Abdul Halim berkata, tindakan mengheret perbalahan politik hanya menyebabkan masa dan tenaga ‘orang yang sepatutnya bekerja’ terbuang.

“Isu-isu politik ini pilihan raya sudah tamat. Jangan kita heret terlalu panjang perbalahan politik.

“Itu merugikan banyak terutama tenaga dan masa orang-orang yang sepatutnya buat kerja sekarang ini,” kata Adam Adli kepada media yang menunggu di pintu luar Istana Negara.

Beliau merupakan salah seorang daripada 27 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga berkata, beliau tidak nampak terdapat sebarang masalah untuk pemimpin PKR dan UMNO bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah,  beliau juga tidak melihat terdapat sebarang cabaran besar untuk kedua-dua parti bergandingan bahu demi rakyat.

Katanya, cabaran terbesar bagi anggota Kabinet adalah memastikan agenda yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaksanakan.

Katanya, Anwar telah menyatakan antara tumpuan adalah menangani kos sara hidup yang membebankan rakyat serta beberapa pembaharuan lain.

“Sudah tubuhkan kerajaan. Kerjasama yang telah terbukti dan akan diteruskan masing-masing mengambil tanggungjawab.

“Saya tak nampak cabaran besar. Cabaran besarnya ialah untuk pastikan agenda-agenda yang sudah dimuktamatkan itu dilaksanakan.

“Kehadapan ini banyak cabaran. Perdana Menteri fokus kepada sara hidup dan pembaharuan. Itu perkara perlu diberi fokus,” kata Adam Adli.

Beliau akan mula memasuki pejabat timbalan menteri Isnin ini dan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam melaksakan program sukan dan belia.

Seramai 27 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Kesemua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.-MalaysiaGazette