JOHOR BAHRU – Lima kertas kerja membabitkan isu kos sara hidup akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pembentangan kertas kerja itu akan disertai 15 kementerian adalah penting bagi memastikan jawatankuasa berkenaan dapat mencari penyelesaian isu kos sara hidup rakyat.
Antara kementerian yang akan membentangkan kertas kerja adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Sains, Teknologi dan Inovasi.
Jelas Salahuddin, pertemuan itu penting bagi membolehkan kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat yang berlaku pada masa ini.
Apatah lagi, isu kos sara hidup merupakan keutamaan Perdana Menteri pada masa ini.
“Selepas mesyuarat NACCOL itu, baru akan ada keputusan yang dicapai mengenai isu kos sara hidup yang mungkin diumumkan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkhatan perdana di Masjid Al Mizan Kempas Baru, di sini, hari ini.
Menjawab pertanyaan, Salahuddin berkata, mesyuarat membabitkan semua kementerian itu bertujuan memastikan rantaian makanan berjalan lancar terutama menjelang sambutan Krismas tidak lama lagi.
Beliau menambah, kementeriannya pula akan mengadakan pertemuan bersama para peserta industri.
“Pertemuan ini untuk mendapat penjelasan kenapa berlakunya kekurangan bekalan.
“Ini termasuk kekurangan bekalan minyak masak polibeg bersubsidi 1 kilogram.
“Saya sendiri telah pergi ke beberapa tempat membuat pemeriksaan dan memang kami dapati bekalan telur gred biasa dan dan bekalan minyak masak kurang dinpasaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette