Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil pada minggu hadapan berikutan langkah pelabur yang agak berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes percaya pelabur agak skeptik tentang prospek ekonomi global dan pembukaan semula China mungkin tidak mengimbangi kebimbangan kemelesetan global.

“Pada pandangan saya, berita baiknya ialah jangkaan inflasi AS akan berkurangan selain Indeks Harga Pengguna (IHP) pada minggu akan datang diramal menyokong pandangan itu jika ia diumumkan lebih lemah, yang boleh mempercepatkan penjualan dolar US secara besar-besaran,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau memberitahu susulan yang lebih positif mungkin dapat dilihat selepas pengeluaran data CPI AS dan apabila Rizab Persekutuan turun kepada 50 mata asas pada minggu hadapan.

“Ini mungkin akan menyokong ringgit untuk diniagakan antara paras 4.3850 dan 4.4150,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah sepanjang minggu berikutan kebimbangan yang semakin bertambah mengenai peningkatan kes Omicron di China, kerisauan mengenai prospek ekonomi global serta sentimen berwaspada menjelang mesyuarat FOMC pada minggu hadapan.

Dari minggu ke minggu, ringgit melemah berbanding dolar US kepada 4.4010/4080 daripada 4.3835/3925 yang disaksikan semasa Jumaat sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2545/2601 daripada 3.2463/2535, rendah berbanding euro pada 4.6466/6540 daripada 4.6136/6231 dan agak tidak bermaya berbanding pound Britain pada 5.3908/3994 daripada 5.3781/3892.

Bagaimanapun, ia lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2315/2369 daripada 3.2698/2768 yang dicatatkan seminggu sebelum ini. – BERNAMA